Isnin, 19 Mei 2014

Jangan tertipu beli kucing





Keinginan dan minat terhadap dunia pemeliharaan kucing baka semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai di negara kita. Justeru, tidak hairan ada yang sanggup berhabis puluhan atau ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan kucing baka terbaik dan boleh menjadi pemenang setiap kali pertandingan diadakan.
Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui tidak semua kucing dibeli itu layak untuk menyertai pertandingan kerana terdapat syarat atau kriteria diperlukan bagi membolehkan haiwan itu bertanding. 

Bermula dari sinilah, satu persatu kes penipuan berlaku. Walaupun tidak mendapat liputan meluas selain kebanyakannya tidak melaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi realitinya penipuan itu turut membabitkan kerugian ribuan ringgit.

Kes pertama membabitkan seorang bekas pengusaha bengkel kereta, Razali Idham, 32, yang mendakwa pernah kerugian hampir RM20,000 ketika membeli lima kucing baka Parsi dari Sepanyol pada Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, ha­nya dua ekor saja yang baik manakala tiga lagi tidak mengikut baka Parsi yang sebenar selain mati sebaik tiba di Malaysia.

Tidak serik dengan kejadian itu, Razali sekali lagi cuba mendapatkan baka Maine Coon dari Jerman dengan harga hampir RM10,000 seekor, tetapi hingga kini masih belum memperolehnya walaupun sudah melunaskan wang pendahuluan RM7,000.

Difahamkan, kucing itu dirampas pihak berkuasa selepas terdapat aduan awam mengenai pemilik berkenaan dan hingga kini Razali masih belum mendapat ganti rugi.

Bagi kes kedua, pelajar kolej Aiman Ramli, 23, sang­gup mengikat perut selama setahun bagi me­ngumpul wang untuk membeli seekor kucing baka sama yang boleh memasuki pertandingan berserta sijil lahir dengan harga RM8,000.

Malangnya, pelajar berkenaan hanya menyedari ditipu apabila menghantar kucing itu untuk dandanan di sebuah kedai kucing dan dimaklumkan ia tidak menepati ciri-ciri baka berkenaan untuk pertandingan.

Malah, warna bulu haiwan itu juga tidak sama dengan warna yang tercatat pada sijil lahir yang disertakan dipercayai si penjual membuat pemalsuan meng­gunakan sijil lahir kucing baka lain.

Bagi pengusaha kedai Ciku Kiwi Enterprise, Mohd Hafizul Mew Hamzah me­ngakui kes penipuan seperti dialami Razali dan Aiman biasa berlaku terutama dalam kala­ngan mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia pemeliharaan kucing baka untuk menyertai pertandingan.

“Saya melihat minat terhadap pemeliharaan kucing ini semakin mendapat tempat dalam kalangan orang Malaysia, malah sejak 2011, saban hari Stesen Kuarantin Haiwan (bagi kucing) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sentiasa penuh menunjukkan bilangan kucing diimport atau dibeli dari luar negara.

“Malangnya saya melihat sikap orang kita yang kurang ilmu mengenai dunia kucing menyebabkan mereka mudah ditipu di tambah dengan sikap kurang sabar, orang ramai pantang melihat kucing cantik dan gebu, pasti mereka me­nganggap ia kucing terbaik dan boleh memenangi pertandingan.

“Sebenarnya tidak semua kucing layak bertanding kerana beberapa faktor lain perlu dipatuhi terlebih dulu, misalnya bagi kucing British Shorthair, hanya empat warna dibenarkan bertanding manakala selebihnya menyebabkan kucing itu tersingkir awal daripada pertandingan.

“Begitu juga dengan baka Parsi yang memerlukan banyak kriteria asli termasuk kedudukan hidung yang selari dengan mata, kepala yang rata (tiada benjol) serta ekor yang lurus bagi membolehkan­nya layak digelar baka Parsi sebenar.

“Perkara asas seperti inilah yang kurang diketahui orang ramai menyebabkan mereka mudah tertipu ketika membuat pembelian,” katanya.

Difahamkan terdapat empat baka kucing yang biasa terdapat di Malaysia iaitu Maine Coon, Parsi, Sphynx dan America Shorthair.

Bagaimanapun, beberapa baka lain termasuk Abbysinian, Norwegian Forest, Cornish Rex, Oriental Shorthair, European Burmese, Manx, Ocicat, American Curl dan Exotic juga mula dipelihara.

Bagi seorang pemilik dan peminat kucing baka, Noorzainin Mohamad Suki, 47, minat memelihara kucing mula bercambah sejak tujuh tahun lalu.

“Sehingga kini saya mempunyai kucing jenis Maine Coon, Parsi dan British Shorthair, Scottish Fold dan Spynx. Bagaimanapun, sebelum membeli baka kucing yang dikehendaki, saya akan mengkaji terlebih dulu bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai baka kucing asli.

“Walaupun memang peminat kucing, saya bukanlah jenis terburu-buru untuk mendapat­kannya, sebaliknya lebih suka menyelidik terlebih dulu sama ada kucing bakal dibeli itu menepati ciri baka sebenar atau tidak.

“Ini kerana wang yang kita laburkan untuk membeli kucing bukanlah sedikit. Justeru kita perlu berhati-hati bagi memastikan setiap wang dibelanjakan berbaloi,” katanya.

Difahamkan, terdapat sesetengah penjual kucing baka di Malaysia tidak bertanggungjawab apabila sengaja menipu pembeli terutama yang tidak mempunyai pe­ngalaman dalam dunia haiwan berkenaan.

“Biasanya kucing dijual itu tidak menepati baka kucing asli walaupun diimport, namun disebabkan sikap tidak bertanggungjawab, penjual menjualnya sehingga lebih RM4,000, malah ada yang mencecah RM8,000 seekor sedangkan mereka membelinya pada harga kurang RM1,000 daripada pemilik asal.

“Ibarat untung atas angin, tindakan ini dilihat cuba meraih keuntungan mudah dengan memberikan maklumat tidak tepat kepada pembeli semata-mata bagi memastikan kucing itu dijual. Jadi, saya menasihat­kan orang ramai yang baru mahu berjinak-jinak memelihara kucing baka perlu mendapatkan nasihat daripada mereka yang berpe­ngalaman sebelum membuat pembelian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/14
SUMBER

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jangantertipubelikucing/Article

1 ulasan: